Bab 9

1 Perjanjian pertama mempunyai peraturan untuk ibadat dan juga tempat beribadat buatan manusia. 2 Sebuah khemah telah didirikan dan di dalam bilik pertama, terdapat kaki pelita dan meja dengan roti yang disucikan dan ia dipanggil Tempat Kudus. 3 Di belakang tirai yang kedua ada sebuah bilik yang dipanggil Tempat Mahakudus. 4 Tempat ini terdapat mezbah emas untuk membakar kemenyan dan tabut perjanjian yang bersalut emas. Tabut ini mengandungi tempayan emas yang berisi manna, tongkat Harun yang telah bertunas, dan loh batu perjanjian. 5 Di atas tabut itu terdapat kerub-kerub (makhluk syurgawi yang bersayap) Kemuliaan, yang menaungi tudung pendamaian. Tetapi sekarang ini bukanlah masa yang sesuai untuk membincangkan perkara ini secara terperinci. 6 Apabila semuanya telah dipersiapkan seperti ini, setiap hari para imam masuk ke dalam bilik pertama untuk melakukan pelayanan mereka. 7 Tetapi hanya imam besar yang masuk ke bilik yang dalam itu. Ia berlaku hanya sekali setahun sahaja dan wajib membawa darah untuk dipersembahkannya kepada Allah bagi dosa dirinya dan juga bagi dosa orang lain. 8 Roh Kudus menunjukkan bahawa jalan masuk ke Tempat Mahakudus belum lagi terbuka selagi bilik pertama masih ada. 9 Hal ini melambangkan masa sekarang, yang menunjukkan bahawa pemberian dan korban yang dipersembahkan tidak dapat membersihkan hati nurani penyembah-penyembah itu. 10 Semuanya hanya soal makanan, minuman dan pelbagai upacara penyucian sehinggalah Allah membuat pembaharuan. 11 11 Tetapi, ketika Kristus datang sebagai Imam Agung bagi perkara-perkara baik yang sudah ada sekarang, Dia masuk melalui khemah yang lebih besar dan lebih sempurna yang tidak dibuat oleh manusia, iaitu bukan sebahagian daripada ciptaan ini. 12 Dia tidak masuk melalui darah kambing dan darah anak lembu. Dia memasuki Tempat Mahakudus sekali untuk selamanya dengan darahnya sendiri dan oleh itu kita mendapat penebusan yang kekal. 13 Sekiranya darah kambing dan lembu jantan serta abu lembu betina yang dipercikkan pada mereka yang najis dapat menyucikan mereka sehingga mereka bersih secara jasmani, 14 apatah lagi darah Kristus, yang melalui Roh yang kekal mempersembahkan diri-Nya dengan tiada cacat cela kepada Allah, akan menyucikan hati nurani kita dari perbuatan yang membawa kepada kematian supaya kita dapat melayani dan beribadah kepada Allah yang hidup! 15 Oleh sebab itulah Kristus adalah pengantara perjanjian baru supaya mereka yang dipanggil oleh Allah boleh menerima warisan kekal yang telah Dia janjikan — Kristus telah mati sebagai tebusan untuk membebaskan mereka daripada dosa yang dilakukan di bawah perjanjian yang pertama. 16 Tentang wasiat, seseorang harus membuktikan bahawa orang yang membuat surat wasiat itu sudah meninggal dunia. 17 Surat wasiat hanya berkuatkuasa apabila seseorang itu telah meninggal dunia. Ia tidak berkuatkuasa selagi orang yang membuatnya masih hidup. 18 Itulah sebabnya perjanjian pertama wajib dilaksanakan dengan darah. 19 Sebaik sahaja Musa habis mengumumkan setiap perintah dalam Hukum Taurat kepada seluruh umat Israel, dia mengambil darah anak lembu dan kambing lalu dicampur dengan air. Kemudian dia menggunakan bulu domba berwarna merah dan hisop (batang kayu dengan bunga di hujungnya, digunakan dalam upacara pemercikan) lalu dipercikkannya pada Kitab Taurat dan juga pada seluruh umat Israel. 20 Sambil itu Musa berkata, “Inilah darah dari perjanjian yang Allah perintahkan untuk kamu ditaati.” 21 Dengan cara yang sama, Musa juga turut memercikkan Khemah Suci dan segala peralatan yang digunakan dalam ibadah. 22 Tambahan lagi, menurut Hukum Taurat, hampir segala sesuatu harus disucikan dengan darah dan tanpa penumpahan darah tiada pengampunan. 23 Oleh itu, segala sesuatu yang melambangkan hal-hal syurgawi harus disucikan dengan cara tersebut. Akan tetapi segala sesuatu yang di syurga itu harus disucikan dengan korban-korban yang lebih baik. 24 Ini kerana Kristus tidak memasuki Tempat Mahakudus yang dibuat oleh tangan manusia di mana ia hanyalah salinan dari Tempat Mahakudus yang asli. Dia memasuki syurga itu sendiri dan sekarang bersama dengan Allah bagi pihak kita. 25 Kristus juga tidak masuk ke syurga untuk mempersembahkan diri-Nya berulang kali seperti imam besar yang masuk ke Tempat Mahakudus setiap tahun dengan membawa darah dari korban binatang. 26 Jika begitu, Dia mesti menderita berulang kali sejak penciptaan dunia. Tetapi, Kristus telah menampakkan diri hanya sekali untuk selama-lamanya pada kemuncak zaman bagi menghapuskan dosa dengan mengorbankan diri-Nya. 27 Sama seperti manusia yang ditentukan hanya mati sekali dan selepas itu menghadapi penghakiman, 28 demikian juga Kristus, dikorbankan sekali sahaja untuk menghapus dosa manusia dan Dia akan muncul untuk kedua kalinya. Bukan untuk menanggung dosa, tetapi untuk membawa keselamatan kepada mereka yang menantikan Dia.