Bab 10

1 Hukum Taurat itu hanyalah suatu petunjuk pada perkara-perkara baik yang Allah akan lakukan. Ia bukanlah hal sebenarnya. Oleh sebab itu, pengorbanan yang sama dan berulang-ulang setiap tahun tidak akan pernah dapat menyempurnakan mereka yang datang beribadat. 2 Seandainya dapat, bukankah persembahan itu patut dihentikan? Sebab para penyembah itu akan disucikan sekali untuk selama-lamanya dan tidak lagi merasa bersalah atas dosa-dosa mereka. 3 Tetapi dalam persembahan korban itu, mereka diperingatkan tentang dosa mereka setiap tahun. 4 Jadi, sudah pasti bahawa darah lembu jantan dan kambing jantan tidak dapat menghapuskan dosa manusia. 5 Oleh itu, saat Kristus datang ke dunia, Dia berkata, “Engkau tidak menghendaki korban dan persembahan, tetapi Engkau telah menyiapkan tubuh bagi-Ku." 6 Engkau tidak berkenan dengan korban bakaran dan korban penghapus dosa. 7 Kemudian Aku berkata, "Inilah Aku ya Allah, Aku datang untuk melakukan kehendak-Mu", seperti yang tertulis tentang Aku dalam gulungan kitab itu. 8 Mula-mula dia berkata, “Korban dan persembahan serta korban bakaran dan korban penghapus dosa tidak Engkau kehendaki dan Engkau tidak berkenan kepadanya." Meskipun semuanya dipersembahkan menurut Hukum Taurat. 9 Kemudian dia berkata, "Inilah Aku, Aku datang untuk melakukan kehendak-Mu." Dia menghapuskan cara yang pertama (pengorbanan berdasarkan perintah Hukum Taurat) dan menetapkan cara yang kedua (pengorbanan Kristus). 10 Maka dengan kehendak-Nya itu, kita telah dikuduskan melalui pengorbanan tubuh Yesus Kristus sekali untuk selama-lamanya. 11 Setiap hari imam melakukan pelayanan hariannya dan berulang-kali mempersembahkan korban yang sama, yang tidak dapat menghapuskan dosa. 12 Tetapi setelah Kristus mempersembahkan korban sekali sahaja untuk selamanya bagi pengampunan dosa, Dia justeru duduk di sebelah kanan Allah. 13 Sejak itu Dia menunggu musuh-musuhnya dijadikan alas kaki-Nya. 14 Dengan hanya satu korban saja dan untuk selama-lamanya, Kristus telah menyempurnakan mereka yang telah disucikan dari dosa. 15 Roh Kudus juga memberi kesaksian kepada kita tentang hal ini. Roh Kudus berkata, 16 “Inilah perjanjian yang akan Aku buat dengan mereka sesudah masa itu, firman Tuhan. Aku akan menaruh hukum-Ku dalam hati mereka dan Aku akan menuliskannya dalam fikiran mereka.” 17 Kemudian Dia berkata lagi, “Dosa dan kejahatan mereka akan Aku lupakan.” 18 Apabila dosa dan kejahatan itu telah diampuni, maka korban untuk dosa tidak lagi diperlukan. 19 Oleh itu saudara-saudaraku, semenjak kita sudah memiliki keyakinan untuk masuk ke Tempat Mahakudus oleh darah Yesus, 20 iaitu melalui jalan yang baru dan hidup di mana ianya telah dibukakan bagi kita melalui tirai, iaitu tubuh-Nya sendiri (pengorbanan kematian-Nya) 21 dan juga kerana kita telah mempunyai seorang Imam Agung yang mengetuai rumah Tuhan, 22 maka marilah kita menyembah Tuhan dengan hati yang tulus, iman yang teguh, hati nurani yang sudah dibersihkan dari perasaan bersalah dan dengan tubuh yang telah dibasuh dengan air yang murni. 23 Marilah kita berpegang teguh pada pengharapan yang telah kita akui kerana Allah yang berjanji adalah Allah yang setia. 24 Marilah kita bersama-sama mencari cara bagaimana untuk mendorong sesama kita agar saling mengasihi dan berkelakuan baik. 25 Tidak meninggalkan pertemuan ibadah bersama, seperti yang biasa dilakukan oleh beberapa orang. Sebaliknya, marilah kita saling menasihati dan menguatkan. Lebih-lebih lagi seperti yang kamu tahu bahawa Kristus akan segera kembali. 26 Jika kita dengan sengaja terus berbuat dosa selepas kita menerima pengetahuan tentang kebenaran, maka tiada lagi korban untuk penghapusan dosa itu. 27 Sebaliknya, yang ada hanyalah penantian penghakiman yang menakutkan dan api yang menyala-nyala di mana api itu akan menghanguskan orang yang menentang Allah. 28 Berdasarkan kesaksian dari dua atau tiga orang saksi, sesiapa yang menolak hukum Musa akan mati tanpa belas kasihan. 29 Jikalau begitu, betapa lebih beratnya penghukuman yang harus dijatuhkan kepada orang yang menginjak-injak Anak Allah, yang menganggap najis darah perjanjian Allah yang telah menyucikan dia daripada dosa dan yang menghina Roh Allah yang mengasihinya. 30 Kerana kita mengenal Dia yang berkata, "Pembalasan adalah hak-Ku, Aku akan menuntut pembalasan." Dia juga berkata, “Tuhan akan menghakimi umat-Nya.” 31 Sungguh mengerikan jika kita jatuh ke tangan Allah yang hidup. 32 Kembali kepada waktu dulu, setelah kamu belajar kebenaran tentang Kristus. Ingat, kamu tetap setia dan bertahan dalam konflik besar yang penuh dengan penderitaan. 33 Kadang-kadang, orang-orang mentertawakan kamu dengan menghina serta menganiaya kamu di khalayak ramai. Kadang-kadang kamu juga turut merasakan penderitaan orang-orang yang diperlakukan sebegitu. 34 Kamu menderita bersama-sama orang yang dipenjarakan dan ketika harta benda kamu dirampas, kamu tetap bersukacita kerana kamu tahu bahawa kamu memiliki harta yang lebih baik dan kekal. 35 Oleh itu, janganlah berhenti merasa yakin dan percaya kepada Allah, Ingat! Ganjaran yang hebat sudah tersedia bagi kamu yang tetap yakin dan percaya kepada-Nya! 36 Kamu perlu bertekun serta bersabar supaya apabila kamu telah melakukan kehendak-Nya, kamu akan menerima apa yang dijanjikan-Nya. 37 Sebab, "Sebentar lagi, Dia yang akan datang itu akan segera tiba dan tidak akan berlengah-lengah." 38 38 “Tetapi umat-Ku yang percaya kepada-Ku dan melakukan perintah-Ku akan hidup. Namun, seandainya ada di antara mereka sudah tidak percaya kepada-Ku lagi, Aku tidak akan berkenan kepadanya." 39 Kita ini bukanlah umat yang sesat yang tidak percaya kepada Tuhan. Tetapi kita adalah umat yang beriman dan diselamatkan.