1
Iman adalah keyakinan terhadap apa yang kita harapkan dan jaminan tentang apa yang tidak kita lihat.
2
Allah berkenan dengan nenek moyang kita kerana mereka memiliki iman.
3
Oleh iman, kita memahami bahawa Allah menciptakan alam semesta dengan memerintahkannya untuk wujud. Jadi apa yang dilihat, dijadikan daripada apa yang tidak dapat dilihat.
4
Kerana beriman, Habel membawa persembahan yang lebih baik daripada yang dipersembahkan oleh Kain. Oleh iman, Habel dipuji sebagai orang benar apabila Allah memperkatakan yang baik tentang persembahan-Nya. Meskipun Habel sudah meninggal dunia, dia masih lagi berbicara kepada kita melalui kesaksian tindakan imannya.
5
Kerana beriman, Henokh telah diambil dari kehidupan ini supaya dia tidak mengalami kematian. Henokh tidak dapat dijumpai kerana Allah telah mengambil dia dan sebelum diambil, Henokh dipuji sebagai orang yang berkenan kepada Allah.
6
Tanpa iman adalah mustahil untuk menyenangkan Allah kerana sesiapa yang datang kepada-Nya harus percaya bahawa Dia ada dan bahawa dia memberi upah kepada mereka yang bersungguh-sungguh mencari Dia.
7
Kerana beriman, Nuh membina sebuah bahtera untuk menyelamatkan keluarganya dari air bah. Nuh patuh dan hormat kepada Allah yang memberi amaran tentang perkara-perkara yang belum kelihatan. Dengan demikian, dunia menerima penghukuman. Oleh iman, Nuh menjadi pewaris kebenaran yang sesuai dengan imannya.
8
Kerana beriman, saat Abraham dipanggil Allah untuk pergi ke tempat yang akan diwarisinya, dia taat dan pergi walaupun dia tidak tahu ke mana dia akan pergi.
9
Kerana beriman, Abraham tinggal di tanah perjanjian yang akan diwarisinya. Dia tinggal di khemah bersama Ishak dan Yakub, yang merupakan pewaris dari janji yang sama daripada Allah.
10
Ini kerana Abraham menantikan kota yang abadi, kota yang dirancang dan dibangun oleh Allah.
11
Kerana beriman, Sara berkemampuan untuk mengandung dan melahirkan anak walaupun faktor usianya sudah tidak mengizinkan (melepasi usia melahirkan anak). Sarah percaya bahawa Allah itu setia dan berpegang kepada janji-Nya.
12
Melalui seorang yang terlalu tua dan hampir meninggal dunia, lahirlah banyak keturunan sebanyak bintang di langit dan tidak terhitung seperti butiran pasir di tepi pantai.
13
Semua orang ini masih hidup dengan iman di saat mereka meninggal dunia. Mereka tidak menerima apa yang sudah Allah janjikan kepada mereka tetapi mereka melihat dan menyambut janji-janji itu dari jauh. Mereka mengakui bahawa mereka adalah orang asing di bumi ini. Bumi ini bukanlah tempat mereka yang sesungguhnya.
14
Jelas sekali orang yang berkata seperti itu sedang menantikan sebuah tempat yang lebih baik.
15
Jika mereka memikirkan tempat yang sudah ditinggalkan, mereka akan mempunyai peluang untuk kembali ke sana.
16
Sebaliknya, mereka merindukan sebuah tempat yang lebih baik iaitu Syurga. Allah merasa senang kerana mereka menyebut Dia sebagai Allah mereka dan Dia juga sudah menyediakan sebuah kota bagi mereka.
17
Kerana beriman, ketika Allah menguji Abraham untuk mempersembahkan Ishak, dia yang telah menerima janji itu rela mengorbankan anak tunggalnya.
18
Walaupun sebelum ini Allah telah berkata kepadanya, “Keturunanmu akan datang dari Ishak.”
19
Abraham yakin bahawa jika Allah mahu, Dia boleh membangkitkan orang mati. Dalam erti kata lain, itulah yang berlaku nanti apabila dia menerima Ishak kembali dari kematian.
20
Kerana beriman, Ishak memberkati Yakub dan Esau mengenai masa depan mereka.
21
Kerana beriman, Yakub, ketika dia hampir mati, memberkati setiap anak Yusuf dan menyembah Allah sambil bersandar pada kepala tongkatnya.
22
Kerana beriman, Yusuf, apabila hampir dengan kematiannya, bercakap tentang keluarnya orang Israel dari Mesir dan membuat pengaturan untuk penguburannya sendiri. Dia ingin mereka membawa tulang-tulangnya ketika keluar meninggalkan Mesir sehingga tulang-tulangnya dikuburkan di tanah yang Allah janjikan kepada mereka.
23
Kerana beriman, ibu bapa Musa menyembunyikan dia selama tiga bulan selepas dia dilahirkan kerana mereka melihat dia anak yang luar biasa dan mereka tidak takut akan titah raja.
24
Kerana beriman, Musa, setelah dia dewasa, enggan dikenali sebagai anak putri Firaun.
25
Musa memilih untuk menderita bersama-sama umat Allah daripada menikmati kesenangan sekejap saja akibat dosa.
26
Musa menganggap bahawa penghinaan demi Kristus lebih berharga daripada harta Mesir kerana dia memandang serta menantikan upahnya yang lebih besar di syurga.
27
Kerana beriman, Musa meninggalkan Mesir. Dia tidak takut akan murka raja. Dia tabah dan bertahan dari kembali ke mesir kerana dia melihat Dia yang tidak kelihatan itu.
28
Kerana beriman, Musa merayakan Paskah dan memberi perintah agar mengoleskan darah seekor domba di pintu setiap rumah supaya pemusnah anak sulung tidak akan menyentuh anak sulung Israel.
29
Kerana beriman, orang Israel berjalan menyeberangi Laut Merah seolah-olah berjalan di tanah kering. Akan tetapi, apabila orang Mesir cuba berbuat demikian, mereka mati lemas di dalam laut itu.
30
Kerana beriman, para tentera mengelilingi tembok Yerikho selama tujuh hari dan tembok Yerikho pun runtuh.
31
Kerana beriman, Rahab, wanita pelacur itu tidak dibunuh bersama-sama dengan orang-orang yang menentang Allah kerana dia mengalu-alukan pengintip-pengintip Israel dengan damai.
32
Masih banyak lagi contoh-contoh yang aku ingin nyatakan. Tetapi aku tidak mempunyai cukup masa untuk menceritakan tentang Gideon, Barak, Simson, Yefta, Daud, Samuel dan para nabi.
33
Orang-orang seperti ini, kerana beriman, mereka menakluki kerajaan, melaksanakan keadilan, memperoleh apa yang dijanjikan, menutup mulut singa,
34
memadamkan nyala api, terlepas dari mata pedang, yang kelemahannya bertukar menjadi kekuatan, yang menjadi kuat dalam peperangan dan mengalahkan bala tentera asing.
35
Kerana beriman, para wanita menerima orang tersayang mereka kembali daripada kematian.Tetapi ada pula yang di bawah penyeksaan, menolak untuk dibebaskan agar mereka mengalami kehidupan yang lebih baik di syurga dari apa yang mereka alami di dunia ini.
36
Yang lain pula berani didera dan disebat, dirantai dan dipenjarakan.
37
Mereka direjam, digergaji menjadi dua dan dibunuh dengan pedang. Ada juga yang mengembara hanya memakai kulit-kulit domba atau kambing. Mereka tidak memiliki apa-apa, tiada kawan dan ditindas.
38
Orang-orang ini terlalu berharga untuk tinggal di dunia. Mereka selalu mengembara kerana mereka tidak memiliki tempat untuk tinggal. Mereka mengembara di padang pasir, gunung-gunung, tinggal di dalam gua-gua dan lubang-lubang di tanah.
39
Mereka semua dipuji kerana iman mereka, tetapi tidak seorang pun daripada mereka menerima apa yang dijanjikan.
40
Sebab, Allah telah merancang dan menyediakan sesuatu yang lebih baik untuk kita. Rancangan-Nya ialah Allah ingin menyempurnakan kita dan mereka bersama-sama.