1
Oleh kerana kita dikelilingi oleh sekumpulan besar saksi kehidupan iman, marilah kita menanggalkan setiap beban yang melambatkan kita, dan dosa yang mengikat kita. Marilah kita berlari dengan tekun dalam perlumbaan yang di hadapan kita.
2
Biarlah kita terus memusatkan perhatian kita kepada Yesus, yang merintis dan menyempurnakan iman kita. Kerana kegembiraan yang menanti dihadapan-Nya, Yesus rela menanggung salib itu tanpa menghiraukan bahawa kematian di kayu salib adalah perkara yang memalukan. Sekarang, Dia duduk di tempat kemuliaan dan kuasa di sebelah takhta Allah.
3
Ingatlah akan Yesus yang tabah menghadapi tentangan seperti itu dari orang berdosa yang sangat membenci Dia. Oleh itu, janganlah kamu patah semangat dan tawar hati!
4
Dalam perjuanganmu melawan dosa, kamu masih belum melawan sehingga menumpahkan darahmu.
5
Adakah kamu benar-benar lupa akan nasihat yang diberikan kepada kamu seperti seorang bapa kepada anak-anaknya? “Hai anakku, jangan anggap remeh didikan Tuhan dan jangan tawar hati apabila Dia menegur engkau.
6
Sebab, Tuhan mendisiplinkan orang yang dikasihi-Nya dan Dia menghukum setiap orang yang diterima-Nya sebagai anak.”
7
Anggaplah setiap kesengsaraan yang kamu hadapi ini sebagai disiplin dari Tuhan. Dia memperlakukan kamu sebagai anak-anaknya. Sebab, adakah anak-anak yang tidak didisiplin oleh bapanya?
8
Jika kamu tidak didisiplinkan, manakala orang lain menjalani disiplin ini, maka kamu bukanlah anak yang sah kepada bapa kamu.
9
Kita semua mempunyai bapa di dunia ini yang mendisiplinkan kita dan kita menghormati mereka. Apatah lagi Bapa kita di syurga, kita harus tunduk dan taat kepada-Nya!
10
Bapa kita yang di dunia ini mendisiplinkan kita hanya untuk sementara waktu menurut apa yang mereka fikirkan terbaik untuk kita. Tetapi, Allah melakukannya untuk kebaikan kita supaya nanti kita mendapat bahagian dalam kekudusan-Nya.
11
Tiada disiplin yang kelihatan menyenangkan, malah menyakitkan. Walau bagaimanapun, pada akhirnya nanti, ia menghasilkan kebenaran yang memberikan damai bagi setiap orang yang telah dilatih melaluinya.
12
Oleh itu, kuatkanlah tanganmu yang lelah dan lututmu yang lemah!
13
Berjalanlah terus pada jalan yang benar supaya barangsiapa yang lemah dan ingin berhenti, saat mereka melihat kesaksianmu, mereka tidak akan patah semangat, malah akan dikuatkan kembali dan akan meneruskan perjalanan mereka lagi.
14
Berusahalah untuk hidup damai dengan semua orang dan berusahalah untuk hidup kudus kerana tanpa kekudusan tidak seorang pun dapat melihat Tuhan.
15
Berhati-hatilah supaya jangan ada seorang pun yang kehilangan anugerah Tuhan dan janganlah seorangpun menjadi seperti akar pahit, yang ketika itu tumbuh dan menyebabkan masalah dan melukai ramai orang.
16
Janganlah ada seorang pun yang melakukan percabulan atau bersikap fasik seperti Esau, yang menjual hak warisnya sebagai anak sulung untuk sesuap makanan.
17
Selepas itu, seperti yang kamu ketahui, apabila dia ingin mewarisi berkat itu, ayahnya Ishak menolak untuk memberkatinya. Meskipun dia memohon berkat itu dengan air mata, namun dia tidak dapat mengubah apa yang telah dia lakukan.
18
Sebab kamu belum datang ke gunung yang boleh disentuh, kepada nyalaan api, kepada kegelapan, kesuraman dan ribut.
19
Kamu pun belum datang kepada tiupan sangkakala atau kepada suara yang mengucapkan kata-kata sehingga mereka yang mendengarnya memohon supaya jangan diperkatakan lagi kepada mereka.
20
Ini kerana mereka tidak dapat menanggung apa yang diperintahkan. "Bahkan, bila seekor binatang menyentuh gunung itu, ia harus dilempari batu sampai mati.
21
Pemandangan itu sangat mengerikan sehingga Musa berkata, “Aku gemetar ketakutan.”
22
Tetapi, kamu telah datang ke Gunung Sion iaitu kota Tuhan yang hidup, Yerusalem syurgawi dan kepada malaikat-malaikat yang tidak terhitung jumlahnya di dalam perhimpunan yang penuh kegirangan.
23
Kamu telah datang kepada perhimpunan anak-anak sulung Tuhan, yang namanya tercatat di syurga. Kamu telah datang kepada Allah, iaitu Hakim atas semuanya dan kepada roh orang-orang benar yang telah Allah sempurnakan.
24
Kamu telah datang kepada Yesus, pengantara perjanjian baru dan kepada percikan darah (darah kematian Yesus) yang berbicara tentang pengampunan daripada darah Habel yang menjerit untuk membalas dendam.
25
Pastikan agar kamu tidak menolak orang yang berbicara. Kerana jika mereka (orang Israel) tidak melarikan diri ketika mereka menolak Dia yang memberi amaran kepada mereka di bumi, apatah lagi kita, jika kita menolak Dia yang memberi amaran dari syurga?
26
Ketika itu, suara-Nya menggoncangkan bumi, tetapi sekarang Dia berjanji, "Aku akan menggoncangkan bumi sekali lagi, bukan sahaja bumi tetapi langit juga akan Aku goncangkan."
27
Perkataan "sekali lagi" ini menunjukkan Allah akan menyingkirkan segala sesuatu yang dapat Dia goncangkan, iaitu semua yang diciptakan, supaya apa yang tidak tergoncangkan itu tetap ada.
28
Oleh sebab itu, kerana kita akan menerima kerajaan yang tidak tergoncangkan, marilah kita mengucap syukur dan marilah kita mempersembahkan penyembahan yang berkenan kepada Allah dengan penuh rasa kagum dan hormat kepada-Nya.
29
Sebab sesungguhnya Allah kita adalah seperti api yang dapat membakar habis segalanya.