Bab 13

1 Kasihilah sesama kamu dan teruskanlah pelihara kasih persaudaraan itu. 2 Jangan lupa untuk melayani orang yang tidak dikenali. Sebab dengan berbuat demikian, beberapa orang telah menyambut dan melayani malaikat-malaikat tanpa menyedarinya. 3 Ingatlah mereka yang di dalam penjara seolah-olah kamu bersama-sama mereka di dalam penjara dan juga mereka yang dianiaya, seolah-olah kamu sendiri menderita. 4 Hormatilah perkahwinan! Suami isteri, tetaplah setia kepada pasanganmu masing-masing. Allah pasti akan mengadili orang yang berbuat maksiat dan orang yang berzina. 5 Jangan taksub dengan wang tetapi bersyukurlah dengan apa yang kamu miliki sekarang. Sebab Tuhan telah berfirman, "Aku tidak akan mengecewakan kamu. Aku tidak akan meninggalkan kamu." 6 Jadi kita boleh berkata dengan penuh keyakinan. "TUHAN adalah Penolongku! Maka aku tidak akan takut! Aku tidak akan takut apa yang orang lain akan lakukan kepadaku!" 7 Ingatlah para pemimpin yang telah mengajar kamu tentang firman Tuhan. Perhatikanlah hasil dari kehidupan mereka dan ikutilah teladan iman mereka. 8 Yesus Kristus tetap sama pada waktu lalu, semalam, hari ini dan sampai selama-lamanya. 9 Janganlah kamu tertarik dengan idea-idea atau pengajaran baru yang pelik. Kekuatan kamu itu datang dari anugerah Tuhan, bukan dari peraturan tentang makanan yang tidak memberi manfaat kepada pengikutnya. 10 Kita mempunyai mezbah di mana para imam di Khemah Suci tidak berhak untuk makan. 11 Di bawah sistem lama, imam besar membawa darah binatang ke Tempat Suci sebagai korban pengampunan dosa manakala bangkai binatang itu dibakar jauh dari tempat tinggal mereka. 12 Oleh itu, untuk menguduskan umat-Nya melalui darah-Nya sendiri, Yesus juga menderita dan mati di luar kota. 13 Marilah kita pergi kepada-Nya di luar perkhemahan dan menanggung penghinaan yang pernah ditanggung-Nya. 14 Kerana dunia ini bukanlah rumah abadi kita tetapi kita sedang menantikan rumah yang akan datang. 15 Oleh itu, marilah kita mempersembahkan korban puji-pujian kepada Allah melalui Yesus, iaitu dengan memuliakan nama-Nya. 16 Marilah kita selalu ingat untuk berbuat baik dan menolong orang lain kerana perbuatan seperti itu sangat menyenangkan hati Allah. 17 Patuhlah kepada pemimpin rohani kamu, hormatilah mereka kerana merekalah yang memerhatikan kamu dan kelak mereka harus memberi pertanggungjawaban kepada Allah atas pelayanan mereka. Biarlah mereka melakukannya dengan penuh sukacita dan bukan dengan keluhan sebab ia tidak memberi keuntungan bagimu. 18 Berdoalah untuk kami kerana kami percaya bahawa kami memiliki hati nurani yang murni dan kami ingin selalu hidup dengan cara yang terhormat khususnya di dalam setiap perkara yang kami lakukan. 19 Perkara yang terutama adalah ini: Berdoa agar aku kembali kepadamu dengan segera. 20 Sekarang, semoga Allah damai sejahtera, yang melalui darah perjanjian yang kekal membangkitkan Tuhan kita Yesus, Gembala domba yang Agung itu, 21 memperlengkapi kamu dengan segala yang baik untuk melakukan kehendak-Nya dan semoga melalui Yesus Kristus, Dia mengerjakan di dalam kita apa yang dikehendaki-Nya. Bagi Dialah kemuliaan sampai selama-lamanya. Amin. 22 Aku menggesa kamu, wahai saudara-saudari ku yang dikasihi. Perhatikan apa yang telah aku tulis dalam nasihat ringkas ini. 23 Aku ingin kamu tahu bahawa saudara kita, Timotius, sudah dibebaskan dari penjara. Jika dia datang ke sini dengan segera, aku akan membawanya bersamaku untuk berjumpa dengan kamu. 24 Sampaikan salam kami kepada semua pemimpin kamu dan kepada semua umat Allah. Saudara-saudari dari Itali menyampaikan salam kepada kamu. 25 Kasih karunia Allah menyertai kamu semua.