1
Melkisedek ialah raja Salem dan merupakan imam Allah Yang Maha Tinggi. Pada waktu Abraham pulang dari mengalahkan bala tentera dari empat raja untuk menyelamatkan anak buahnya Lot dan keluarganya, Melkisedek lah orang yang pergi menemui Abraham lalu memberkati dia.
2
Sepuluh peratus daripada semua barang yang diperoleh waktu berperang diberikan kepada Melkisedek. Nama "Melkisedek" bererti "Raja Kebenaran" dan pada masa yang sama, gelaran lainnya ialah "Raja Salem" bermaksud "Raja Damai."
3
Tiada maklumat tentang kelahiran, kematian dan salasilah keluarga Melkisedek namun kehidupannya seperti Anak Allah, dia menjadi imam selama-lamanya.
4
Lihatlah betapa tingginya kedudukan Melkisedek sehingga bapa leluhur kita Abraham memberikan sepuluh peratus daripada semua barang yang diperolehnya dari peperangan itu.
5
Seperti tertulis dalam hukum taurat, keturunan lewi yang menjadi imam diminta untuk memungut sepuluh peratus daripada pendapatan umat Israel, yang juga merupakan keturunan Abraham.
6
Di sudut lain, Melkisedek bukanlah keturunan Lewi namun dia menerima sepuluh peratus daripada Abraham dan memberkati Abraham yang telah menerima janji-janji Allah itu.
7
Tanpa sebarang keraguan, seseorang yang memiliki kuasa untuk memberkati itu lebih besar dari orang yang diberkatinya.
8
Para imam yang memungut persepuluhan itu adalah manusia yang pasti akan mati tetapi menurut Alkitab, Melkisedek tetap hidup.
9
Boleh dikatakan bahawa Lewi yang menerima persepuluhan itu juga membayar persepuluhan mereka kepada Melkisedek pada saat Abraham membayar persepuluhannya.
10
Pada waktu Melkisedek bertemu dengan Abraham, Lewi belum lagi lahir namun mereka seolah-olah sudah berada di dalam tubuh Abraham, nenek moyangnya.
11
Seandainya kesempurnaan itu didapati dari keimaman Lewi (melalui keimaman Lewi orang menerima hukum taurat), mengapakah masih perlu wujud imam lain menurut tata cara Melkisedek dan bukannya menuruti tata cara Harun?
12
Saat keimaman itu berubah, sudah semestinya hukum taurat itupun berubah.
13
Orang yang dimaksudkan ini berasal dari suku lain. Tidak ada seorang pun dari suku-Nya pernah bertugas sebagai pelayan altar.
14
Jelas di sini bahawa Tuhan kita berasal dari suku Yehuda dan Musa tidak pernah perkatakan hal-hal berkaitan dengan para imam dengan suku ini.
15
Perkara ini menjadi semakin jelas apabila seorang imam lain muncul dengan cara yang sama Melkisedek menjadi imam.
16
Dia menjadi imam bukan berdasarkan aturan tentang keturunan manusia. Dia menjadi imam berdasarkan kuasa kehidupan yang tidak akan pernah binasa.
17
Inilah yang dikatakan Alkitab tentang Dia, "Engkau adalah Imam untuk selama-lamanya, menurut aturan Melkisedek."
18
Peraturan lama sudah berakhir kerana ia ada kelemahan dan tidak berguna lagi.
19
Tiada seorang pun akan menjadi sempurna hanya dengan mematuhi hukum taurat itu. Namun sekarang ada pengharapan yang lebih baik diberikan kepada kita dan dengan pengharapan ini kita boleh mendekati Allah.
20
Juga, sangat penting Tuhan membuat perjanjian itu dengan sumpah apabila Dia menjadikan Yesus sebagai Imam Agung. Apabila orang lain menjadi imam, tiada pun sumpah yang diucapkan.
21
Tetapi Yesus Kristus menjadi Imam dengan sumpah yang diucap oleh Tuhan. Tuhan berkata kepada-Nya, "Tuhan telah berjanji dengan sumpah dan Dia tidak akan mengubah fikiran-Nya: "Engkau adalah Imam Agung untuk selamanya."
22
Jadi ini bermakna bahawa Yesus adalah jaminan perjanjian yang lebih baik daripada Tuhan kepada umatnya.
23
Sebelum ini, terdapat ramai imam dan apabila salah seorang daripada imam meninggal dunia, dia tidak boleh terus menjadi imam.
24
Tetapi Yesus hidup selama-lamanya. Dia akan terus menjadi Imam selama-lamanya.
25
Oleh itu, Kristus boleh menyelamatkan mereka yang datang kepada Tuhan melalui Dia. Kristus boleh melakukan ini selama-lamanya, kerana Dia sentiasa hidup untuk berdoa bagi mereka dan membantu mereka yang datang ke hadapan Tuhan.
26
Yesus ialah Imam Agung yang kita perlukan. Dia suci dan tidak mempunyai dosa dalam dirinya. Dia suci dan tidak dipengaruhi oleh orang berdosa dan Dia ditinggikan melebihi segala-galanya.
27
Yesus tidak seperti imam-imam yang lain. Mereka wajib mempersembahkan korban setiap hari. Pertama sekali untuk dosa mereka sendiri dan kemudian untuk dosa umat. Tetapi Yesus tidak perlu berbuat demikian. Dia hanya mempersembahkan satu pengorbanan untuk sepanjang masa iaitu Dia menawarkan diri-Nya sendiri.
28
Hukum Taurat menetapkan manusia yang mempunyai kelemahan yang sama seperti semua orang. Tetapi setelah Hukum Taurat, Allah mengucapkan sumpah yang menjadikan Anak-Nya Imam Agung dan Anak itu, yang disempurnakan melalui penderitaan, telah menjadi sempurna selama-lamanya.