Bab 6

1 Oleh itu, janganlah terus membincangkan ajaran-ajaran asas tentang Kristus sahaja sebaliknya melangkah ke arah kedewasaan kehidupan kristian kita. Marilah kita tidak mengulangi pengajaran dasar iman dalam Allah, 2 ataupun pengajaran asas tentang baptisan, meletakkan tangan pada orang lain dan tentang kebangkitan orang mati serta hukuman yang kekal. 3 Sekiranya Allah mengizinkan, semua hal ini akan kita lakukan. 4 Hal itu demikian kerana mereka pernah percaya dan mengerti firman tentang Yesus. Mereka sudah mengalami kuasa keselamatan Allah dan menerima Roh Kudus. 5 Mereka sudah merasakan kebaikan firman Allah dan pelajari bagaimana Allah akan bekerja dengan luar biasa pada masa depan. Namun mereka meninggalkan Kristus lagi. 6 Mustahil untuk memimpin mereka kembali untuk bertaubat kerana itu seperti mereka menyalibkan Anak Allah lagi dan mempermalukan Dia di khalayak umum. 7 Allah memberkati tanah yang menyerap air hujan yang selalu turun ke atasnya dan ia menghasilkan tanaman yang bermanfaat kepada mereka yang menanamnya. 8 Tetapi sekiranya tanah itu hanya menghasilkan lalang dan duri maka ia tidak berguna lagi dan akan dikutuk lalu pada akhirnya akan dibakar. 9 Namun, saudara-saudara yang tercinta, walaupun kami berkata seperti ini, kami yakin dan tahu bahawa hal yang lebih baik akan berlaku kepadamu iaitu hal yang mengiring penyelamatan. 10 Allah selamanya adil dan Dia tidak akan melupakan kerja dan perbuatan kasih yang telah kamu tunjukkan bagi nama-Nya iaitu dengan melayani sesama saudara seiman dari dulu sampai sekarang ini. 11 Kami sangat teringin melihat agar setiap orang melakukan pekerjaannya dengan penuh semangat sampai garis akhir agar kamu memiliki kepastian yang penuh, yang akan kamu terima dari apa yang Allah sudah janjikan kepadamu. 12 Oleh itu, jangan biarkan semangatmu menjadi pudar. Sebaliknya contohilah mereka yang sudah menerima janji itu oleh kerana iman dan kesabaran mereka. 13 Pada saat Allah berjanji kepada Abraham, Dia bersumpah demi diri-Nya sendiri. Allah tidak boleh bersumpah atas nama yang lain kerana hanya Dia yang tertinggi dari semuanya. 14 Allah berfirman, "Aku pasti akan memberkati engkau berlimpah-limpah dan memperbanyakkan keturunanmu." 15 Oleh kerana Abraham bersabar, dia menerima apa yang Allah janjikan kepadanya. 16 Ketika melafazkan sumpah, seseorang itu akan menggunakan nama orang lain yang lebih tinggi posisinya daripada dia. Sumpah itu adalah suatu pengesahan yang mengakhiri segala perselisahan. 17 Dengan menambahkan sumpah dalam janji-Nya, ini bererti Allah memberikan keyakinan serta jaminan bahawa rencana-Nya tetap sama kepada para pewaris janji-Nya. 18 Dua hal yang tak dapat berubah iaitu janji-Nya dan sumpah-Nya kerana Allah tidak dapat berbohong tentang hal itu. Oleh yang demikian, bagi kita yang telah mempercayai Dia, marilah kita terus berpegang teguh pada pengharapan yang diberikan kepada kita. 19 Pengharapan yang ada pada kita adalah seperti sauh yang teguh dan aman bagi jiwa. Pengharapan ini akan membawa kita masuk ke ruang dalam yang paling suci di dalam Bait Allah. 20 Yesus terlebih dahulu masuk ke tempat itu dan menjadi Imam Agung untuk selama-lamanya sesuai dengan peraturan Melkisedek.