Bab 4

1 Janji Allah untuk kita masuk ke perhentian bersama-sama Nya masih terbuka sampai saat ini. Oleh itu, marilah kita berwaspada agar tiada seorang pun yang ketinggalan memasuki tempat perhentian itu. 2 Khabar baik yang telah kita dengar sama seperti apa yang mereka dengar. Akan tetapi, perkhabaran itu tidak bermanfaat bagi mereka yang tidak percaya dan taat kepada janji Allah itu. 3 Tetapi bagi kita yang percaya dan taat, kita akan memasuki perhentian itu kerana Allah telah berfirman, "Seperti yang telah Aku janjikan ketika Aku marah, mereka tidak akan masuk ke perhentian itu dan berehat bersama-sama Aku," walaupun kerja-Nya sudah selesai sejak Dia menciptakan dunia ini. 4 Tentang hari ketujuh, seperti yang tertulis dalam Alkitab, "Allah berehat daripada semua pekerjaan-Nya pada hari yang ketujuh." 5 Sekali lagi Allah katakan, "Mereka tidak akan masuk perhentian itu dan berehat bersama-sama Aku." 6 Mereka yang terdahulu mendengar khabar baik itu tidak dapat memasuki perhentian-Nya kerana mereka tidak percaya dan tidak taat. Oleh itu, masih ada kesempatan untuk orang lain memasuki perhentian-Nya. 7 Jadi, Allah sekali lagi menetapkan hari khusus yang lain, yang disebut "hari ini." Allah berfirman melalui Daud seperti yang dikatakan sebelumnya, "Sekiranya kamu mendengar suara Allah pada hari ini, janganlah keraskan hatimu." 8 Seandainya Yosua sudah membawa mereka ke tempat perhentian itu, Allah tidak akan berfirman lagi tentang hari yang lain. 9 Oleh sebab itu, masih ada lagi perhentian pada hari sabat yang Allah sediakan untuk umat-Nya. 10 Sebagaimana Allah sendiri berehat dari pekerjaan-Nya, begitu juga mereka yang memasuki perhentian Allah akan berehat dari pekerjaan mereka. 11 Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama berjuang untuk masuk ke tempat perhentian-Nya. Janganlah kita sama seperti mereka yang dahulu, gagal masuk ke tempat perhentian yang disediakan oleh Allah kerana tidak percaya dan tidak taat kepada-Nya. 12 Firman Allah itu hidup dan berkuasa serta lebih tajam daripada pedang bermata dua. Firman Allah itu menyusuk jauh ke dalam sehingga memisahkan jiwa dan roh, antara sendi-sendi dan sumsum tulang dan juga menghakimi fikiran dan niat hati manusia. 13 Tiada seorangpun dapat bersembunyi daripada Allah. Segala sesuatu itu terbuka serta jelas di hadapan Allah dan kita wajib memberikan pertanggungjawapan hidup kita di hadapan-Nya nanti. 14 Marilah kita terus yakin dan percaya serta berpegang teguh kepada pengakuan iman kita kerana kita memiliki seorang Imam Agung yang besar. Dia ialah Yesus Anak Allah yang sudah masuk ke tempat di mana Allah berada. 15 Imam Agung kita ini bukanlah imam yang tidak dapat memahami dan merasakan kelemahan-kelemahan kita tetapi sebaliknya Dia adalah seorang Imam yang pernah dicubai sama seperti kita namun Dia tidak berbuat dosa. 16 Oleh itu, marilah kita menghadap takhta Allah dengan penuh keberanian. Di sinilah rahmat-Nya melimpah dan kita akan menerima belas kasihan dan menemukan anugerah pertolongan-Nya pada saat kita memerlukan.