Bab 5

1 Ketika Yesus melihat orang ramai itu, Dia pun mendaki ke atas bukit lalu duduk. 2 Kemudian datanglah murid-murid-Nya kepada-Nya. Dia pun mula mengajar mereka: 3 "Diberkatilah mereka yang miskin kerohanian, kerana merekalah yang empunya Kerajaan Syurga. 4 Diberkatilah mereka yang bersedih, kerana mereka akan dihiburkan. 5 Diberkatilah mereka yang lemah lembut, kerana mereka akan mewarisi bumi. 6 Diberkatilah mereka yang lapar dan haus akan kebenaran, kerana mereka akan dipuaskan. 7 Diberkatilah mereka yang berbelas kasihan, kerana mereka juga akan dikasihani. 8 Diberkatilah mereka yang suci hati, kerena mereka akan melihat Allah. 9 Diberkatilah mereka yang membawa damai, kerana mereka akan dipanggil anak-anak Allah. 10 Diberkatilah mereka yang dianiaya demi kebenaran, kerana merekalah yang empunya kerajaan syurga. 11 Diberkatilah kamu apabila orang menghina, menganiaya dan memfitnahmu dengan segala yang jahat kerana Aku. 12 Bersukacita dan bergembiralah kerana besar upahmu di syurga. Sebab demikan juga telah dianiaya para nabi yang sebelum kamu." 13 "Kamu ialah garam dunia. Jika garam menjadi tawar, tidak mungkinlah masin semula. Tidaklah berguna lagi, hanya layak dibuang dan dipijak orang. 14 Kamu ialah cahaya dunia ini. Kota yang di atas bukit tidak mungkin tersembunyi. 15 Tiada siapa memasang pelita lalu menyorokkannya di bawah pasu; tentu dia meletakkannya di atas kaki pelita untuk menerangi seisi rumah. 16 Biarlah cahayamu juga bersinar di hadapan orang ramai, supaya mereka dapat melihat perbuatanmu yang baik lalu memuji Bapamu yang di syurga." 17 Jangan sangka Aku datang untuk menghapuskan Hukum Taurat dan kitab para nabi. Aku datang bukan untuk menghapuskan tetapi untuk menunaikan segala-galanya. 18 Kerana Aku berkata kepadamu: Sesunggguhnya selagi ada langit dan bumi, satu titik atau huruf yang terkecil pun tidak akan hapus daripada Hukum Taurat, sebelum semuanya terjadi. 19 Dengan demikian, jika seseorang melanggar hukum yang terkecil pun dan mengajar orang lain melanggarnya, dia akan tergolong antara mereka yang paling rendah dalam kerajaan syurga. Tetapi siapa yang melakukan dan mengajarkan semua perintah hukum Taurat, dia akan mendapatkan tempat yang tinggi di dalam kerajaan syurga. 20 Maka Aku berkata kepadamu: Sesungguhnya, kamu tidak akan memasuki kerajaan syurga jika hidupmu tidak lebih taat daripada ketaatan ahli-ahli Taurat dan orang-orang Farisi. 21 Kamu telah mendengar ajaran daripada nenek moyang kita: 'Jangan membunuh. Sesiapa yang membunuh akan dihakimi.' 22 Tetapi Aku berkata kepadamu: Sesiapa yang marah terhadap saudaranya akan dihakimi. Sesiapa yang mencaci saudaranya akan dibawa ke hadapan Mahkamah Agama. Dan sesiapa yang memanggil saudaranya 'bodoh' akan dihumbankan ke dalam api neraka. 23 Oleh itu, jika kamu sedang meletakkan persembahan kepada Allah di atas mezbah lalu teringat akan sesuatu yang ada dalam hati saudaramu terhadap engkau, 24 tinggalkanlah persembahanmu di depan mezbah, berdamai dahulu dengan saudaramu, kemudian barulah mempersembahkan persembahan itu. 25 Segeralah berdamai dengan orang yang hendak mendakwamu di mahkamah sewaktu kamu masih dalam perjalanan ke situ. Jika tidak, dia akan menyerahkanmu kepada hakim. kemudian hakim menyerahkanmu kepada pegawai dan kamu akan dimasukkan ke dalam penjara. 26 Aku berkata kepadamu: Sesungguhnya engkau tidak akan keluar dari sana, sebelum engkau membayar semua hutangmu. 27 "Kamu telah mendengar ajaran ini: 'Jangan berzina.' 28 Tetapi Aku berkata kepadamu: Sesiapa yang memandang seorang wanita dengan berahi, telah berzina dengannya dalam hati. 29 Jika mata kananmu menyebabkan kamu berdosa, cungkillah dan buanglah mata itu. Lebih baik kamu kehilangan satu bahagian tubuhmu daripada seluruh tubuhmu dibuang ke dalam neraka. 30 Dan, jika tangan kananmu membuatmu berdosa, potong dan buanglah tanganmu itu kerana lebih baik kamu kehilangan salah satu anggota tubuhmu daripada seluruh tubuhmu dibuang ke dalam neraka. 31 Sudah dikatakan: Sesiapa yang menceraikan isterinya harus memberi surat cerai kepada isterinya 32 itu. Akan tetapi, Aku mengatakan kepadamu bahawa sesiapa yang menceraikan isterinya, kecuali kerana zina, dia membuat isterinya berzina. Dan, sesiapa yang menikah dengan perempuan yang telah diceraikan itu, dia juga berzina. 33 Kamu telah mendengar ajaran kepada nenek moyang kita: 'Jangan bersumpah palsu. Tunaikan sumpahmu kepada Tuhan.' Tetapi Aku berkata kepadamu: 34 Janganlah bersumpah demi syurga, kerana syurga itu takhta Allah. 35 Jangan bersumpah demi bumi, kerana bumi ini alas kaki-Nya. Atau demi Yerusalem, kerana itu kota Raja Agung, iaitu Allah. 36 Jangan bersumpah demi kepalamu, kerana kamu tidak berkuasa memutihkan atau menghitamkan sehelai rambut pun. 37 Katakan sahaja 'Ya' atau 'Tidak' dan tunaikan itu. Yang lebih daripada itu datang dari si jahat. 38 "Kamu telah mendengar ajaran begini: 'Mata diganti mata, gigi diganti gigi.' 39 Tetapi Aku berkata kepadamu: Janganlah membalas dendam terhadap orang yang berbuat jahat kepadamu. Jika seseorang menampar pipi kananmu, berilah juga kepadanya pipi kirimu. 40 Jika seseorang hendak mendakwamu untuk mendapatkan bajumu, berikanlah jubahmu juga. 41 Jika sesiapa memaksamu bejalan sebatu dengannya, berjalanlah bersamanya sejauh dua batu. 42 Jika seseorang meminta sesuatu daripadamu berikanlah, dan janganlah menolak orang yang mahu meminjam daripadamu. 43 "Kamu telah mendengar ajaran yang berikut: 'Kasihilah sesama manusia dan bencilah musuhmu.' 44 Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Kasihilah musuhmu dan doakan orang yang menganiaya kamu. 45 Dengan demikan kamu menjadi anak-anak Bapamu yang di syurga; kerana Allah menerbitkan matahari untuk orang yang jahat dan orang yang baik. Dia menurunkan hujan untuk orang yang benar dan orang yang tidak benar. 46 Jika kamu mengasihi orang yang mengasihi kamu, apakah ganjaranmu? Bukankah pemungut cukai pun berbuat demikian? 47 Jika kamu hanya beramah mesra dengan saudara-saudaramu sahaja, apakah kelebihan kamu daripada orang lain? Bukankah orang yang tidak mengenal Allah pun berbuat demikian? 48 Hendaklah kamu sempurna seperti Bapamu di syurga."