Bab 4

1 Setelah itu, Yesus dibawa oleh Roh ke padang gurun untuk digoda Iblis. 2 Dan setelah berpuasa empat puluh hari empat puluh malam, Dia berasa lapar. 3 Iblis datang kepada-Nya lalu berkata, "Jika Engkau Anak Allah, perintahkanlah supaya batu-batu ini menjadi roti." 4 Tetapi Yesus menjawab: "Ada tertulis: Manusia hidup bukan dari roti sahaja tetapi dengan setiap firman yang keluar daripada mulut Allah." 5 Selepas itu, Iblis membawa-Nya ke kota suci lalu meletakkan-Nya di puncak Bait Allah 6 dan berkata kepada-Nya, "Jika Engkau Anak Allah, terjunlah ke bawah, kerana ada tertulis: 'Tentang Engkau, Allah akan memerintahkan malaikat-malaikat-Nya dan mereka akan menatang Engkau di atas tangannya, supaya kaki-Mu tidak terhantuk batu.'" 7 Yesus berkata kepadanya, "Tetapi telah tertulis: Janganlah engkau mencabar Tuhan, Allahmu." 8 Dan Iblis membawa pula Yesus ke atas gunung yang sangat tinggi dan menunjukkan kepada-Nya semua kerajaan di dunia serta kemegahannya. 9 Kata Iblis kepada Yesus, "Semua ini akan kuberikan kepada-Mu jika Engkau sujud menyembah aku." 10 Maka berkatalah Yesus kepadanya: "Nyah engkau Iblis! Ada tertulis: Engkau harus menyembah Tuhan, Allahmu dan kepada-Nya sahaja engkau beribadah." 11 Lalu, Iblis pun meninggalkan Yesus dan malaikat-malaikat datang melayani Dia. 12 Apabila mendengar bahawa Yohanes telah dipenjarakan, Yesus pun pergi ke Galilea. 13 Dia tidak tinggal di Nazaret tetapi di Kapernaum, sebuah kota di pinggir laut Galilea di kawasan Zebulon dan Naftali. 14 Dengan demikian terlaksanalah apa yang dikatakan oleh Nabi Yesaya: 15 "Tanah Zebulon dan tanah Naftali, di pinggir laut, seberang sungai Yordan, Galilea, daerah bangsa-bangsa orang bukan Yahudi. 16 Bangsa yang hidup dalam kegelapan telah melihat cahaya yang gemilang. Bagi mereka yang tinggal di negeri yang di bawah bayangan maut, cahaya telah bersinar!" 17 Sejak waktu itulah Yesus memberitakan: "Bertaubatlah, kerana kerajaan syurga semakin dekat!" 18 Ketika Yesus berjalan di pinggir Laut Galilea, Dia ternampak dua orang bersaudara, iaitu Simon yang juga dipanggil Petrus, dan saudaranya Andreas. Mereka sedang menebarkan jala di danau kerana mereka nelayan. 19 Yesus berkata kepada mereka, "Mari, ikulah Aku dan Aku akan menjadikan kamu penjala manusia." 20 Dengan segera, mereka pun meninggalkan jala mereka dan mengikuti Dia. 21 Dan setelah Yesus pergi dari sana, Dia ternampak dua beradik lagi, Yakobus dan Yohanes bersama bapa mereka Zebedeus, sedang mengemaskan jala di dalam perahu. Yesus memanggil dua beradik itu 22 dan mereka segera meninggalkan perahu dan bapa mereka, lalu mengikuti Yesus. 23 Yesus pun menjelajah ke seluruh Galilea. Dia mengajar di rumah-rumah ibadat dan menyampaikan Injil Kerajaan Allah serta menyembuhkan semua jenis penyakit dan kesakitan dalam kalangan mereka. 24 Berita tentang Yesus tersebar di seluruh Siria. Maka, ramailah orang yang menanggung pelbagai penyakit dan penderitaan, orang yang dirasuk roh iblis, orang yang menghidap gila babi dan yang lumpuh, dibawa kepada-Nya dan disembuhkan oleh-Nya. 25 Ramai sekali orang mengikut-Nya: dari Galilea dan Dekapolis, dari Yerusalem, dari Yudea dan dari kawasan seberang Yordan.