Bab 7

1 "Jangan hakimi orang lain, supaya kamu tidak dihakimi. 2 Kerana sebagaimana kamu menghakimi orang lain, demikian jugalah kamu akan dihakimi. Ukuran yang kamu gunakan untuk mengukur akan diukurkan kepadamu. 3 Mengapakah kamu perhatikan selumbar di mata saudaramu, sedangkan kayu balak di matamu sendiri tidak kamu sedari? 4 Bagaimakah kamu dapat berkata kepada saudaramu, 'Biarlah aku keluarkan selumbar daripada matamu,' sedangkan ada kayu balak di matamu sendiri? 5 Hai orang munafik! keluarkanlah dahulu kayu balak itu daripada matamu, dan kemudian barulah jelas penglihatanmu untuk mengeluarkan selumbar daripada mata saudaramu. 6 Jangan berikan sesuatu yang suci kepada anjing, atau melemparkan mutiara kepada babi, nanti dipijak-pijak lalu berpaling menyerangmu." 7 "Mintalah, dan kamu akan menerimanya; carilah, dan kamu akan mendapatnya; ketuklah pintu, dan pintu akan dibuka untukmu. 8 Kerana setiap orang yang meminta akan menerima, setiap orang yang mencari akan mendapat; dan setiap orang yang mengetuk, pintu akan dibuka untuknya. 9 Adakah dari antara kamu yang memberi batu kepada anaknya, jika dia meminta roti? 10 Atau memberi ular, jika dia meminta ikan? 11 Jika kamu yang berdosa pun tahu memberikan yang terbaik kepada anakmu, apalagi Bapamu yang di syurga! Dia akan memberikan yang baik kepada mereka yang meminta dripada-Nya. 12 Segala sesuatu yang kamu mahu orang lakukan kepadamu, lakukanlah demikian juga kepada mereka, kerana inilah ajaran Hukum Taurat dan kitab para nabi." 13 "Masuklah melalui pintu yang sempit, kerana pintu yang lebar dan luas adalah jalan yang menuju kepada kebinasaan, dan ramai orang yang masuk melaluinya; 14 kerana sesaklah pintu dan sempitlah jalan yang menuju kepada kehidupan, dan sedikit orang yang menjumpainya." 15 "Berjaga-jagalah tentang nabi palsu yang datang kepadamu dengan pakaian domba tetapi sebenarnya serigala ganas. 16 Dari buahnyalah kamu akan mengenal mereka. Pernahkah orang memetik buah anggur dari rimbunan berduri? Atau pernahkah buah ara dipetik dari semak berduri? 17 Demikian juga, setiap pokok yang subur menghasilkan buah yang baik, tetapi pokok yang tidak subur menghasilkan buah yang tidak baik. 18 Pokok yang subur tidak mungkin menghasilkan bauh yang tidak baik dan pokok yang tidak subur tidak mungkin menghasilkan buah yang baik. 19 Setiap pokok yang tidak menghasilkan buah yang baik akan ditebang dan dibakar. 20 Jadi, dari buahnyalah kamu akan mengenal mereka." 21 "Tidak semua orang yang berseru kepada-Ku: 'Tuhan, Tuhan!' akan memasuki Kerajaan Syurga, tetapi hanya mereka yang melaksanakan kehendak Bapa-Ku yang di syurga. 22 Pada hari itu ramai orang akan berkata kepada-Ku, 'Tuhan, Tuhan bukankah kami telah bernubuat dengan nama-Mu? Bukankah kami telah menghalau roh-roh iblis serta melakukan banyak mukjizat dengan nama-Mu? 23 Pada waktu itulah Aku akan berterus-terang kepada mereka dan berkata: Aku tidak pernah mengenal kamu! Nyahlah kamu dari sini, hai kamu yang melakukan kejahatan!" 24 "Sesiapa yang mendengar dan menurut kata-kata-Ku ini , dia sama dengan orang yang bijak, yang membina rumah di atas batu. 25 Hujan turun, banjir melimpah dan angin kencang melanda, tetapi rumah itu tidak runtuh kerana didirikan di atas batu. 26 Sesiapa yang mendengar perkataan-Ku ini tetapi tidak melakukannya, dia sama dengan orang yang bodoh, yang membina rumah di atas pasir. 27 Hujan turun, banjir melimpah dan angin kencang melanda, lalu runtuhlah rumah itu dengan kerosakkan yang sangat besar." 28 Setelah selesai Yesus menyampaikan kata-kata itu, orang ramai itu kagum dengan ajaran-Nya 29 kerana Dia mengajar mereka sebagai orang yang berkuasa, tidak seperti ahli-ahli Taurat mereka.