Bab 11

1 Setelah Yesus memberi perintah kepada kedua belas murid-Nya, Dia meninggalkan tempat itu lalu pergi mengajar dan memberitakan Injil di bandar-bandar. 2 Yohanes yang berada di dalam penjara mendengar tentang apa yang dilakukan oleh Kristus, dan menyuruh murid-muridnya bertanya kepada Yesus. 3 Mereka bertanya, "Adakah Engkau yang akan datang itu atau perlukah kami menunggu seorang yang lain?" 4 Yesus menjawab mereka, "Pulanglah, beritahu Yohanes apa yang kamu dengar dan lihat: 5 Orang buta melihat, orang lumpuh berjalan, orang kusta ditahirkan, orang tuli mendengar, orang mati dihidupkan semula dan orang miskin diberitakan Injil. 6 Diberkatilah orang yang tidak berpaling daripada Aku!" 7 Ketika murid-murid Yohanes beredar dari situ, Yesus mula berkata kepada orang ramai tentang Yohanes: "Apabila kamu mendapatkan Yohanes di gurun, apakah yang ingin kamu lihat? Melihat buluh yang ditiup angin? 8 Kamu pergi ke sana untuk melihat apa? Seorang yang berpakaian mewah? Orang yang berpakaian seperti itu tempatnya di istana raja. 9 Jadi, kamu ke sana untuk melihat apa? Seorang nabi? Betul, dan Aku berkata kepadamu, lebih daripada seorang nabi. 10 Sebab, tentang dialah ada tertulis: 'Aku akan menghantar utusan-Ku untuk mendahului-Mu; dialah yang akan menyediakan jalan bagi-Mu.' 11 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, di antara mereka yang dilahirkan oleh perempuan, belum pernah muncul seorang yang lebih besar daripada Yohanes Pembaptis. Namun begitu, orang yang terkecil dalam kerajaan syurga lebih besar daripadanya. 12 Sejak kedatangan Yohanes Pembaptis hinggalah ke hari ini, kerajaan syurga telah diserang oleh orang yang ingin menguasainya melalui kekerasan dan keganasan, dan orang ganas berusaha menguasainya dengan kekerasan 13 Kerana semua nabi dan Hukum Taurat bernubuat sampai zaman Yohanes. 14 Dan jika kamu mahu menerimanya, dialah Elia yang akan datang itu. 15 Sesiapa yang bertelinga, dengarlah! 16 Dengan apakah dapat Kubandingkan manusia zaman ini? Mereka itu seperti anak-anak kecil yang duduk di tempat-tempat umum, yang memanggil kawan-kawannya, 17 dan berkata, 'Kami meniup seruling untukmu, tetap kamu tidak menari. Kami menyanyikan lagu dukacita, tetapi kamu tidak berdukaa.' 18 Ketika Yohanes datang, dia berpuasa dan tidak minum air anggur, lalu semua orang berkata, 19 'Dia dirasuk roh iblis!' Ketika Anak Manusia datang, Dia makan dan minum, lalu semua orang berkata, 'Lihatlah Dia ini rakus dan pemabuk, kawan kepada pemungut cukai dan orang berdosa!' Namun demikian, kebijaksanaan terbukti benar dengan perbuatannya." 20 Lalu Yesus mulai menegur bandar-bandar tempat Dia paling banyak melakukan mukjizat, kerena mereka tidak bertaubat. 21 "Celakalah engkau, Khorazim! Celakalah engkau, Betsaida! Sekiranya mukjizat-mukjizat yang dilakukan dalam kalanganmu dilakukan di Tirus dan Sidon, tentu sudah lama orang di situ bertaubat, dengan memakai baju kabung dan membubuh abu di kepala. 22 Akan tetapi, pada hari penghakiman itu, hukuman atas Tirus dan Sidon lebih ringan daripada atas kamu! 23 Engkau Kapernaum! apakah fikiranmu engkau akan ditinggikan sampai ke syurga? Tidak, kamu akan dihumbankan ke naraka! Kalaulah mukjizat-mukjizat yang dilakukan dalam kalanganmu itu dilakukan di Sodom, tentu Sodom masih ada sampai sekarang! 24 Aku berkata kepadamu, pada hari penghakiman itu, hukuman atas Sodom lebih ringan daripada atas kamu!" 25 Selepas itu Yesus berucap, "Ya Bapa, Tuhan langit dan bumi! Aku bersyukur kepada-Mu, kerana apa yang Kaurahsiakan daripada cerdik pandai, Kautunjukkan kepada anak-anak kecil. 26 Ya Bapa, memang inilah yang Engkau berkenan." 27 "Bapa-Ku telah menyerahkan segala-galanya kepada-Ku. Tiada yang mengenal Anak kecuali Bapa, dan tiada yang mengenal Bapa kecuali Anak serta orang yang terpilih Anak untuk menyatakan Bapa. 28 Datanglah kepada-Ku, semua yang letih lesu dan memikul beban berat: Aku akan memberimu kelegaan. 29 Ambillah kuk daripada-Ku dan terimalah ajaran-Ku, kerana Aku ini lemah lembut dan rendah hati, maka jiwamu akan tenang. 30 Sebab, kuk yang Kupasang itu mudah dan beban-Ku ringan."