1
Saudara dan saudari yang aku kasihi, bagaimanakah kamu boleh mengaku beriman kepada Tuhan kita Yesus Kristus jika kamu bersikap pilih kasih?
2
Sebagai contoh, andaikan ada seorang datang ke dalam pertemuanmu dengan pakaian yang mewah dan perhiasan yang mahal, manakala seorang lagi datang dalam keadaan miskin dan berpakaian kotor.
3
Jika kamu memberi layanan istimewa dan tempat duduk yang baik kepada orang kaya, tetapi kamu berkata kepada orang miskin, "Kamu boleh berdiri di sana, atau duduk di atas lantai saja."
4
Bukankah kamu sudah membeza-bezakan di antara kamu dan menghakimi dengan fikiran yang jahat.
5
Dengarlah aku, wahai saudara-saudari yang aku kasihi. Bukankah Allah telah memilih orang miskin di dunia ini untuk menjadi kaya dalam iman dan yang akan mewarisi Kerajaan yang dijanjikan-Nya kepada mereka yang mengasihi Dia?
6
Tetapi kamu menghina orang miskin! Bukankah orang kaya yang menindas kamu dan mengheret kamu ke pengadilan?
7
Bukankah mereka yang menghina nama baik yang kamu mliki.
8
Teramatlah baik apabila kamu mematuhi hukum Allah seperti yang terdapat dalam Kitab Suci, "Kasihilah sesamamu manusia seperti dirimu sendiri."
9
Akan tetapi jika kamu bersikap pilih kasih, kamu telah melakukan dosa dan menurut Hukum Taurat, kamu telah melanggar hukum.
10
Bagi orang yang mentaati seluruh hukum tetapi melanggar satu perintah sahaja, orang itu sudah dikira melanggar seluruh hukum.
11
Sebab Allah yang sama yang berkata, "Jangan berzina," juga berkata, "Jangan membunuh." Jadi jika kamu membunuh seseorang tetapi tidak berzina, kamu masih melanggar seluruh hukum.
12
Jadi, apa sahaja yang kamu katakan atau yang akan kamu lakukan, ingatlah bahawa kamu akan dihakimi oleh hukum yang membebaskan kamu.
13
Tiada belas kasihan bagi mereka yang tidak menunjukkan belas kasihan kepada orang lain. Tetapi jika kamu berbelas kasihan, Tuhan akan berbelas kasihan apabila Dia menghakimi kamu.
14
Apa gunanya, saudara dan saudari yang dikasihi, jika kamu mengatakan kamu mempunyai iman tetapi tidak menunjukkannya dengan tindakan kamu? Bolehkah iman seperti itu menyelamatkannya?
15
Sekiranya kamu melihat seorang saudara lelaki atau perempuan kamu yang tidak mempunyai makanan atau pakaian,
16
lalu kamu berkata, “Pergilah dengan damai, hangatkan dirimu dan makanlah sampai kenyang", tetapi kamu tidak memberi orang itu makanan atau pakaian. Itu tidak baik.
17
Jadi, hanya dengan beriman sahaja tidak mencukupi. Iman tanpa perbuatan adalah mati!
18
Seseorang mungkin berkata, “kamu memiliki iman dan aku memiliki perbuatan.” Tetapi aku akan berkata, “Tunjukkanlah imanmu tanpa perbuatan dan aku akan menunjukkan kepadamu imanku dengan perbuatan.”
19
Kamu percaya bahawa ada satu Tuhan. Itu benar! Malah roh-roh jahat pun percaya akan hal ini dan mereka gemetar ketakutan.
20
Hai orang bodoh! Sedarlah bahawa iman tanpa perbuatan adalah mati!
21
Tidakkah kamu ingat bahawa nenek moyang kita Abraham telah terbukti benar di hadapan Tuhan melalui tindakannya ketika dia mempersembahkan anaknya Ishak di atas mezbah.
22
Lihatlah, iman dan perbuatannya bekerja bersama-sama. Tindakannya menjadikan imannya sempurna.
23
Maka terjadilah seperti yang tertulis dalam Kitab Suci. "Abraham percaya kepada Tuhan dan Tuhan menganggap dia benar kerana imannya." Malah Abraham digelar sebagai sahabat Tuhan.
24
Jadi, kamu lihat, bahawa dari perbuatanlah orang dibenarkan, bukan dari iman sahaja.
25
Contoh yang lain ialah Rahab, seorang pelacur. Dia terbukti benar di hadapan Tuhan melalui tindakannya apabila dia menyembunyikan utusan-utusan itu (mata-mata Israel) dan menghantar mereka dengan selamat melalui jalan yang berbeza.
26
Jadi, sama seperti tubuh itu mati tanpa roh, demikian juga iman tanpa perbuatan adalah mati.